Sunday, April 26, 2009

KULIAH 1 : KAJIAN TINDAKAN DALAM PENDIDIKAN

DEFINISI KAJIAN TINDAKAN

Kajian tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan pendidikan melalui perubahan yang menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar, kritis dan bersedia untuk mengubah amalan-amalannya.

Kajian tindakan juga sebagai satu kajian terhadap persekitaran sekolah yang melibatkan warga sekolah itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing.

Kajian tindakan sebagai salah satu pendekatan P&P dalam bilik darjah mempunyai beberapa kebaikan, antaranya:-

a. Membantu guru berhubung dengan penambahbaikan kebiasaan atau budaya pengajaran dalam bilik darjah.

b. Menyediakan ruang kepada guru untuk menggilap kreativiti dan inovasi terutama dalam menyelesaikan permasalahan dalam pengajaran guru dan pembelajaran murid.

c. Membantu guru untuk memperkembangkan profesionalisme melalui proses penemuan kendiri.

d. Oleh kerana guru mempunyai autoriti dalam bilik darjah masing-masing maka kajian tindakan akan membantu mereka untuk mencuba pendekatan-pendekatan pengajaran yang difikirkan

TUJUAN KAJIAN TINDAKAN

Tujuan Kajian Tindakan adalah untuk melibatkan guru dalam proses penambahbaikan dalam bidang tugasnya. Di antara tujuan Kajian Tindakan ialah:

i. Menggalakkan guru menyelesaikan masalah amalan harian dengan membuat refleksi bagi mendapatkan idea dan strategi baru dalam usaha membawa pembaharuan dan kemajuan.

ii. Menggalakkan guru menyelidik amalan-amalan yang ingin diperbaiki dalam kerja mereka dalam kelas untuk membaiki tindakan dan menilai hasil dan keberkesanan usaha itu. Dalam hal ini guru diberi kuasa untuk membuat keputusan dalam bilik darjahnya.

Contohnya : Guru akan melakukan kajian untuk penambahbaikan kepada teknik pengajaran dan pembelajaran yang digunakan olehnya di dalam bilik darjah. Selepas melakukan sesuatu pengajaran , guru akan melakukan refleksi adakah teknik pengajaran yang dilakukannya di dalam kelas tersebut bersesuaian dan memberi kesan atau tidak kepada pelajar serta objektif P & P tercapai atau tidak dengan penggunaan teknik tersebut. Jika tidak bersesuaian dan tidak memberi kesan kepada pelajar, maka guru perlulah melakukan kajian untuk penambahbaikan dengan menggunakan teknik lain atau teknik yang lebih bersesuaian yang boleh menarik minat pelajar. Penambahbaikan ini boleh dilakukan oleh guru apabila mengajar bagi subjek yang sama di kelas lain.

JENIS-JENIS KAJIAN TINDAKAN

Secara umumnya, kajian tindakan terbahagi kepada empat iaitu:

1) Individu

2) Kolaboratif

3) Peringkat Sekolah

4) Peringkat Daerah

Berdasarkan paradigma baru ini, Creswell (2005) membahagikan kajian tindakan kepada dua jenis iaitu:

1) Kajian Tindakan Amalan (Practical Action Research)

Kajian yang melibatkan peninjauan tentang amalan guru dalam konteks bilik darjah di mana guru itu mengajar. Ini boleh dijalankan sama ada melalui dirinya sendiri ataupun melibatkan rakan sejawat beliau yang mengajar matapelajaran yang sama dengan memberi fokus terhadap amalan guru dan pembelajaran pelajar.

2) Kajian Tindakan Penyertaan (Participatory Action Research)

Kajian yang melibatkan kajian tentang isu-isu sosial yang menghindarkan perkembangan pelajar. Bagi melihat isu seperti ini, guru perlu meninjau latar belakang sosial pelajar dan persekitaran sekolah. Guru perlu mengadakan kolaborasi dengan komuniti atau pihak berkepentingan bagi mencari sebab- sebab kenapa seseorang pelajat itu tidak boleh menguasai ilmu. Apabila semua faktor itu diperoleh, maka guru boleh melaksanakan program untuk mengubah “cara hidup” pelajar. Dengan berbuat demikian, ia akan menjadikan guru sebagai “emancipated researcher” atau guru yang membebaskan pelajar dari sesuatu belenggu atau masalah yang mencegah perkembangan pelajar.